Thursday 21 May 2009

Facebook tak selamat!


LAMAN sosial terkemuka, Facebook perlu mengkaji semula Soalan Keselamatan jika pengguna terlupa kata laluan untuk membolehkannya memasuki akaun tertentu.

Ini kerana soalan terbabit mungkin mudah diketahui orang lain memandangkan jaringan Facebook merangkumi rakan atau keluarga yang pasti mengetahui jawapan jika diajukannya bagi tujuan keselamatan.


Ia ditimbulkan dalam blog pengendali keselamatan F- Secure yang memberi contoh soalan 'Bila Hari Jadi Ibu', 'Nama Ayah' atau 'Nama Guru' berkemungkinan tidak relevan untuk digunakan dalam laman web sosial sebagai pengganti kata laluan.

Facebook mengandungi kawalan peribadi yang baik kerana menghadkan maklumat daripada disalurkan kepada pengguna lain namun sebaliknya jika ia mahu mengenalpasti pemilik akaun sebenar.

Menurut blog itu, mengemukakan soalan berdasarkan maklumat sosial mungkin tidak sesuai digunakan di laman web sosial memandangkan penggunanya tergolong dari kalangan rakan dan mereka pasti tahu jawapan terbabit.

"Facebook patut menyemak semula perkara ini," kata blog itu

Saturday 16 May 2009

Kisah Orang Jepun & Ikan Jerung

Masyarakat Jepun begitu menggemari ikan yang segar. Akan tetapi, bekalan ikan di lautan Jepun adalah terhad. Maka, para nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan laut dalam yang lebih jauh daripada daratan.Maka, semakin jauh ke laut dalam, semakin lama masa yang diambil untuk membawa balik ikan ke daratan. Syarikat perikanan ini mendapat satu jalan penyelesaian dengan menyediakan peti sejuk beku di dalam bot. Akan tetapi, masalah tetap muncul yang mana ikan menjadi tidak segar selepas beberapa hari di lautan.Orang jepun tidak menggemari ikan yang tidak segar!Maka, harga ikan sejuk beku ini dijual dengan harga yang lebih murah kerana permintaan yang rendah.

Syarikat ini tidak berputus asa untuk mencari penyelesaian dan akhirnya telah mengemukan idea dengan menyediakan tangki ikan! Teorinya begini, ikan hidup yang ditangkap akan terus dimasukkan ke dalam tangki ikan hidup-hidup! Maka, ikan tersebut di bawa balik ke daratan dalam keadaan hidup-hidup. Akan tetapi, masalah tetap timbul kerana walaupun ikan tersebut masih hidup, tetapi masyarakat jepun tidak dapat merasai kemanisan ikan yang segar. Hal ini adalah kerana ikan tersebut menjadi pasif yang menyebabkan daging ikan tidak segar.Maka, syarikat perikanan ini terus bertungkus lumus memerah idea bagi menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya timbul satu idea yang cukup bernas bagi mengatasi masalah yang timbul. Syarikat ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu menyimpan ikan di dalam tangki air yang ditambah dengan ikan jerung kecil di dalamnya! Walaupun terdapat ikan yang menjadi mangsa kepada ikan jerung ini, akan tetapi kebanyakan ikan masih lagi hidup apabila sampai ke daratan.Ikan yang dibawa balik mendapat permintaan yang tinggi kerana ikan ini masih segar dan isinya manis. Hal ini adalah kerana, ikan-ikan ini terpaksa berenang dengan aktif untuk mengelakkan diri daripada di makan oleh jerung tadi.

Ironinya cerita ini dengan kehidupan kita seharian adalah kita menganggap cabaran dan dugaan sebagai ikan jerung kecil yang menjadikan kita sentiasa bersedia, bertenaga dan aktif.Ikan jerung ini juga menjadikan kita lebih bijak, berusaha secara berterusan dan berdaya saing dalam kehidupan seharian. Jadi jika kita malas dan tidak berusaha, pastilah kita akan menjadi mangsa kepada jerung kecil ini bukan? Bersyukurlah kita kepada Allah kerana menganugerahkan kita seekor ikan jerung kecil dalam kehidupan kita seharian yang menjadikan kita lebih berusaha, berdaya saing dan menjadi lebih baik daripada semalam.

Thursday 14 May 2009

Mat Rempit - Pandangan TT

MAT REMPIT BERSATULAH

Ujung minggu lalu saya ke Pulau Pinang. Ketika ingin pulang kami menyisir di jalan lama untuk singgah ke Port Weld. Saya ingin merasa mee udang yang terdengar bising ketika heboh heboh di Bukit Gantang.

Tak ada apa-apa – mee udang ini jauh tangan dari peha.

Kemudian kami memotong ke Kuala Kangsar – pekan yang amat saya kenali. Kami berhenti untuk secawan kopi pahit di Double Lion. Roti bakarnya dengan kaya kampong masih baik. Kopinya tidak merosot tapi tidak akan menjadi pilihan utama.

Dari Kuala Kangsar kami melencong ke jalan lama menuju Selama. Jalan indah melintasi kampong, dusun, getah dan belukar. Saya tidak lagi marah dengar belukar kerana belukar juga adalah rumah serangga dan pelbagai hidupan. Belukar juga membersihkan udara kotor hasil dari asap kereta. Kalau tidak ada belukar dimana biawak akan hidup.

Di pertenghan jalan kami terserempak dengan beberapa buah kereta. Jalan yang kecil memaksa kami berbontot-bontot. Tetiba satu kumpulan Mat Rempit – berbelas orang – melintasi kami. Anak anak muda ini – langsing, ranggi dan cool.

Mereka mencelok kiri dan mencelok kanan untuk memotong kereta yang sedang beratur. Mereka cukup berani. Saya kagum melihat keberanian mereka. Sekelip mata mereka memintas dan meninggalkan kami.

Untuk membaca lebih lanjut KLIK DI SINI...

Wednesday 13 May 2009

Petrol RON 92 mula dijual

PUTRAJAYA: Bermula 1 September depan, petrol RON 92 akan digantikan sepenuhnya dengan petrol baru RON 95 yang dijual pada harga RM1.75 sen seliter selaras usaha kerajaan memastikan rakyat mendapat petrol lebih berkualiti pada harga yang disubsidikan.

Pengenalan petrol RON 95 dimulakan di dua stesen minyak Petronas di Presint 9 di sini mulai semalam yang akan dikenali sebagai Primax 95, sebelum diperluaskan ke stesen minyak lain di seluruh negara secara berperingkat.

Selaras dengan pengenalan petrol RON 95 itu, kerajaan akan menjadikan RON 97 sebagai produk premium yang dinaikkan pada kadar RM2 berbanding RM1.80 seliter ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini terdapat dua jenis produk petrol di pasaran iaitu RON 92 yang dijual pada harga RM1.70 seliter dan RON 97 pada harga RM1.80 seliter.

Beliau berkata, walaupun harga RON 92 lebih rendah, bilangan penggunaannya sekitar lima hingga 10 peratus daripada jumlah penggunaan keseluruhan petrol di negara ini.

“Perbincangan dengan industri kenderaan bermotor mendapati spesifikasi minimum bagi kebanyakan enjin kenderaan yang digunakan di negara ini adalah RON 91 dan penggunaan RON 97 adalah membazir kerana melebihi keperluan.

“Malah, kebanyakan negara luar seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah menggunakan RON 95 yang lebih berkualiti berbanding RON 97 dan ini sekali gus menggambarkan pengguna di negara ini tidak mendapat maklumat tepat mengenai produk petrol yang sesuai untuk enjin kenderaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan RON 95, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom dan Pengerusi Petronas Dagangan Berhad, Datuk Anuar Ahmad.

*Ihsan Harian Metro