Monday 19 December 2011

Mega Ride 2011 Bandar Dato Onn

Ahad, 18 Disember 2011-Tersedar dari lamunan singkat, hujan sudah pun mencurah lebat. Di dalam hati berkata "trek licin la hari ni", tapi di hujung hati pula berkata aku mesti menamatkan 'ride' hari ini. Semangat sudah pun berkobar-kobar untuk mengayuh walaupun hujan lebat di luar sana.

Setelah semuanya selesai, aku bergerak menuju ke tempat dijanjikan untuk berkumpul dan terus bergerak menuju ke padang Bandar Dato Onn. Setibanya di sana kelihatan pelbagai ragam manusia dengan basikalnya. Ada yang berkayuh, ada yang pasang tayar, ada yang pam tayar dan tidak kurang juga yang asapkan basikal dengan asap rokok.


Bersemangat sambil memamaskan badan
Aku, Wak Joule, Elham, Amat, Ramdan dan Wak dah tak sabar nak berkayuh. Anwar pula sampai, berkayuh dari rumah. Shawal, Din, Nipah, Zulhair balik kerja terus ke sana. Nami dan John dari rumah masing-masing. Seorang lagi ahli pasukan, Nick mewakili pasukan bertaraf pro sikit dari pasukan aku. 

Beginilah cara yang betul memanaskan badan. 1..7,8. 8 lagi
Jam di tangan menunjukkan 0740 pagi, kini semua ahli pasukan KayuhPelan sudah sampai melengkapkan 13 orang kesemuanya. Semua dengan semangat berkayuh sambil terbayang dan berangan Viva yang menjadi rebutan hadiah utama cabutan bertuah.


KayuhPelan di Mega Ride 2011 Bandar Dato' Onn. Tong sampah dan tangki air menjadi penghias gambar.
Hadiah utama cabutan bertuah
Pukul 0800 pagi acara bermula dengan ucapan dari orang-orang penting dan bacaan doa. Tepat 0830 pagi acara kayuhan untuk 'Family Ride' 5km bermula. Sedikit kekeliruan berlaku,  kemungkinan 'emcee' tidak memberi penerangan yang jelas ataupun peserta yang tak faham bahasa menyebabkan semua peserta MTB pun kayuh bersama. 


Family Ride 5km atau pun warm up lap
Jam 0900 pagi acara perdana yang dinanti-nantikan bermula. MTB ride 50km. Sebaik dilepaskan berebutlah pelumba untuk meloloskan diri ke kumpulan hadapan. Di sini sahaja aku telah terpisah dengan kawan-kawan yang lain, ada yang di depan ada yang di belakang aku. Baru sahaja berkayuh lebih kurang 2km 2 orang pelumba tersungkur depan aku, kes langgar belakang. Sekadar memandang dan terus berkayuh memasuki trek 'offroad'.


Sebelum perlumbaan bermula. Sebahagian peserta.
Gambarajah di atas menunjukkan trek yang akan di harungi
Check Point 1 (km 14)
Sepanjang perjalanan perjalanan menuju ke CP 1, aku tidak mengalami sebarang masalah. Kayuh seperti biasa sambil memotong beberapa pelumba lain dan tak kurang juga pelumba lain memotong aku. Laluan juga tidak begitu sukar, semuanya lalui dengan hati terbuka. Cuma sebelum tiba ke CP 1 ada bukit yang agak tinggi dan licin. Aku rasa semua pelumba menolak basikal di situ. Menolak basikal dalam keadaan trek yang licin menguji kesesuaian kasut yang disarungkan di kaki. Perlu berhati-hati bagi menggelakkan tergelincir ke bawah semula. Ternyata kasut aku memang tak sesuai, terlalu licin dan nyaris tergelincir.

Setibanya di CP1 stiker ditampal dulu ni kad pelumbaan. Capai air mineral sebotol, pisang sebiji dan masuk dalam kocek seluar. Meneruskan perjalanan sambil di dalam hati berkata, tenaga banyak lagi tak perlu makan pisang. Ternyata hati aku berkata salah.


Bukit sama dituruni
Bukit sama ditolaki
Check Point 2 (km 24)
Mengharapkan laluan yang hampir serupa seperti tadi, tetapi langit tidak selalu cerah. Melepasi CP 1 sahaja laluan berbukit menanti untuk didaki. Memang aku tiada pilihan lain selain menolak. Semasa menolak di bukit curam ini juga isi perut aku terkeluar, bukan sekali tapi 2 kali. Terus gagahkan diri untuk terus menolak menuju puncak.

Kayuhan dikekalkan seperti biasa, tidak terlalu laju dan tidak juga terlalu perlahan. Sering kali juga aku memotong pelumba di depan, dan seperti tadi juga ada pelumba di belakang memotong aku. Kawan-kawan aku yang lain ramai yang telah jauh ke depan, tapi aku rasa masih ada yang di belakang aku.

Lebih kurang sampai km 20, aku aku merasakan sesuatu. Perkara yang tidak diingini berlaku. Kaki aku kejang buat kali pertama. Berhenti sekejap sambil layan yoko-yoko. Kembali meneruskan urusan yang belum selesai. Aku lebih berhati ketika mendaki, tidak terlalu memaksa, nanti kejang lagi susah. Terpandang papan tanda CP 2 - 2km', hati rasa lega tapi rasanya berkayuh seperti 5km baru sampai ke situ.

Sebelum CP 2 ada  laluan 'downhill' yang menarik, 'single trek', licin dan curam memaksa kekuatan mental dan kekuatan brek basikal utamanya. Tersungkur jugak aku di situ. Di sini Nipah dapat mengejar aku. Berhenti di CP 2 tampal stiker, makan pisang dan ambil air mineral 2 botol. sebotol simpan dalam beg. Terus ajak Nipah meneruskan perjalanan.

Check Point (km 33)
Memulakan kayuhan bersama Nipah, tetapi Nipah kayuh agak sentimental memaksa aku meninggalkannya. Kayuh seorang diri dan seorang demi seorang aku memintas. Laluan di dalam ladang sawit sudah menjadi 'makanan' aku. Laluan landai kadang kala disulami dengan berbukit sederhana, perjalanan aku santai di sini.

Kali ini langit betul-betul tidak selalu cerah, hujan mencurah membasahi bumi. Berkayuh di dalam hujan sekali menguji  kekuatan mental. Trek yang sememang sudah licin dan lopak dipenuhi air semakin mencabar. Akhirnya hujan mengalah, tapi urusan aku masih belum selesai. 

Dua kali kaki aku kejang di laluan ini, seperti biasa yoko-yoko rakan anda semasa kejang. Sebelum itu sempat juga aku menolong seorang pelumba kekejangan. Sambil meneruskan perjalanan ada juga pelumba-pelumba yang mengalami tiub bocor dan kekejangan kaki, sekadar bertegur kerana sudah ada yang membantu. 

Tenaga aku hampir habis, telan sebungkus gel Power Bar. Power Bar rakan ketika meter tenaga hampir 'E'. Setakat ini aku tetap bersemangat walaupun hampir kehabisan tenaga dan begitu juga basikal aku masih mantap.

Tiba di CP 3 macam biasa tampal stiker dulu, makan pisang sebijik dan air 2 botol. Terus jalan, misi mesti diteruskan. Dengar cerita sesiapa yang lambat sampai di CP 3 ini, disuruh melalui jalan pintas ke penamat, atau gelaran paling senang 'chicken run'.

Check Point 4 (km 43)
Memulakan kayuhan dari CP 3 dengan keyakinan yang tinggi dapat menghabiskan 50km. Jumpa Amat dan Shawal, Amat kejang katanya. Terus berkayuh bertiga bersama beberapa pelumba lain. Jumpa pula Anwar menyorok tepi semak, dah penat agaknya. Sekali lagi hujan turun, kali ini lagi lebat dan basikal pun jadi bersih berseri semula. Melalui jalan hutan dalam keadaan hujan lebat memberi pengalaman terbaik. aku nyaris terjatuh semasa melanggar lopak. Masa kayuh hari biasa pun aku pernah masuk lopak, jadi  bagi orang lain pula rasa air lopak kali ini. Lepas aku menolak basikal keluar dari lopak tersebut, terdengar sesuatu di situ. Toleh belakang seorang 'macha' dah rasa air lopak.

Fikirkan hujan berpanjangan, rupanya mentari muncul lagi. Pelbagai dugaan melanda dalam usaha untuk sampai ke CP 4. Kejang kaki perkara biasa, basikal pula buat hal. Lebih kurang di km 35, 'shifter gear' depan dan belakang tidak berfungsi. Aduh, jadi basikal fixie basikal aku. Kayuh dan terus mengayuh, betul-betul kayuh santai, nak laju sangat tak boleh tapi kalau nak lagi perlahan memang boleh sangat.

Sekali lagi ditimpa musibah, ketika menuruni bukit di ladang sayur, brek belakang pula berbunyi lain macam. Dalam hati kecil aku berkata jangan lah jem brek ni. Ya, memang betul brek tak jem, tapi memang tak boleh digunakan langsung. Perut pula terasa lapar yang amat sangat. Terasa terlalu insaf bila lapar macam ni. Berehat sekejap bersama Anwar sambil tengok orang belakang senang-senang potong kami berdua.

Berbekalkan gear fixie dan hanya brek depan aku tetap terus menggagahkan diri berkayuh, 'downhill single trek' menanti. Terjumpa seorang 'brader' brek jem. Nasib aku lebih baik rupanya. Ada 'downhill' mesti ada 'uphill'. Amat tersadai di lereng bukit minta air. Aku hulur sebotol air mineral di dalam beg. Tidak jauh di hadapan nampak pula John juga tersadai kepenatan. Nak tak nak minum 100plus dalam beg air aku. Semua bersetuju sangat lapar ketika itu.

Sampai di CP 4, tampal stiker. Stiker CP 1 aku dah tertanggal dan hilang. Nipah sedang melayan pisang di hujung jalan. Aku pun makan pisang montel 3 biji dan air mineral sebotol. Amat, Anwar dan John sampai selepas itu.

Aku teruskan perjalanan berseorangan meninggalkan mereka membelasah pisang secukupnya. 

Garisan Penamat
Ada 7km lagi untuk menamatkan perjalanan ini. Terasa lega apabila melalui 'onroad' tapi rupanya hanya seketika. Masuk kembali ke ladang sawit. Laluan agak sesuai dengan gear fixie aku, tidak terlalu berbukit dan sedikit landai. Di sini aku berjaya juga memintas 7,8 orang di depan.

Lebih kurang 2km sebelum garis penamat, terpaksa melalui tanah merah. Basikal kembali kotor dengan tanah melekat di segenap tayar. Sedikit sangsi, macam mana ada basikal yang tak kotor sampai ke garisan penamat dan dapat pingat. Adakah aku tersalah jalan?

Akhirnya lebih kurang 5 jam berkayuh dan jam di tangan menunjukkan pukul 2 petang berjaya juga aku menyelesaikan misi pada hari itu. Setibanya di penamat, krew di situ tidak pula memeriksa kad stiker pelumbaan, ini bermakna 'chicken run' pun boleh dapat pingat di situ. Kepuasan diri menamatkan kayuhan mengatasi segalanya walaupun pingat yang diraih tidak pula bertulis kedudukan ke berapa dan hanya sekadar berwarna gangsa. Oleh kerana lapar yang teramat sangat aku terus membaham nasi beriani yang telah tersedia. 


Aksi kawan-kawan yang lagi laju dari aku
Tamatlah kisah perjuangan mengharungi perjalanan sejauh 55km (5km family ride + 50km MTB) dengan keadaan cuaca yang agak kurang membantu, trek yang agak mencabar, masalah kekejangan, basikal kurang sempurna dan semangat yang kental menjadi rencah perlumbaan aku pada hari itu.


Gambar kurang memuaskan kerana menggunakan kamera murah
Semua ahli laskar  KayuhPelan berjaya mendapat pingat kemenangan yang sebenarnya lebih kepada pingat kenang-kenangan. Tahniah kepada semua dan kepada yang mendapat hadiah 'lucky draw' tahniah lagi sekali.

Bergambar kenangan sebelum berangkat pulang. Amat, Anwar & John tiada dalam gambar.

John paling bertuah di antara kami. Dapat basikal lipat. Memang berbaloi-baloi.

Gambar ihsan dari Ret Neutral, Wacycles dan KayuhPelan.
 *Telefon aku masuk air, tapi nasib baik boleh digunakan selepas dikeringkan.

No comments: