Sunday 27 April 2008

Tulis Atas Pasir

Dua orang sahabat karib sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. A dan B. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba sahaja tercetus pertengkaran di antara mereka berdua. A telah menghadiahkan B satu tamparan yang hinggap di pipinya. B terasa sakit hati tetapi tidak bertindak balas.
Tanpa berkata apa-apa, B menulis di atas pasir: Hari ini, sahabat baikku telah menampar mukaku. Kemudian mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka menemui sebuah kawasan subur di padang pasir. Mereka mengambil kata sepakat untuk mandi di oasis tersebut sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Dalam mereka asyik membersihkan diri masing-masing, B nyaris tenggelam dan lemas tetapi diselamatkan oleh sahabatnya A. Ketika B mulai sedar dari lemas dan hilang rasa takut, dia menulis di atas sebuah batu: Hari ini ini, sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku.
A bertanya “Kenapa setelah aku melukai hatimu, kamu menulis di atas pasir, dan sekarang kenapa pula kau menulis di atas batu?” Sambil tersenyum, B berkata “Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapuskan tulisan itu. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup sang bayu.”

Moral cerita, dalam kehidupan seharian kita, sering terjadinya perbezaan pendapat dan konflik disebabkan oleh pandangan kita yang juga berbeza-beza. Oleh kerana itu, cubalah untuk saling memaafkan dan melupakan perselisihan lalu..Cubalah belajar menulis di atas pasir.

No comments: